Senin, 08 Oktober 2012

Masjid di Negeri Perak

Masjid Ubudiah ialah sebuah masjid di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak yang dianggap salah satu masjid terindah di Malaysia dan merupakan simbol kebanggaan dan kepercayaan untuk kaum Muslim di Perak.


Masjid yang terindah di Negeri Perak ini terletak di sebelah kawasan permakaman Di Raja Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Masjid ini dibina di atas kehendak Sultan Idris Murshidul Azam Shah, Sultan Perak ke-28 (1887-1916) kerana menunaikan nazar baginda.

Kerajaan Negeri Perak kemudian mengarah Colonel Huxley dari Pejabat Kerja Raya di Kuala Lumpur supaya merangka sebuah pelan masjid yang hendak didirikan itu. Tugas membuat pelan rekabentuknya telah diberikan kepada Hubbeclk, seorang arkitek kerajaan dan tugas melaksanakan bangunan itu pula diserahkan kepada Caufield sebagai ketua jurutera Negeri Perak ketika itu.
Pada hari Jumaat 26 September 1913, Sultan Idris Murshidul Azam Shah telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Pembinaan masjid tergendala beberapa tahun kerana kerosakan ketul-ketul marmar di tempat simpanannya yang telah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan Sultan Idris dan Raja Chulan.

Pesanan batu marmar yang baru dari Itali tergendala akibat tercetusnya Perang Dunia Pertama, sehinggalah 1917 barulah masjid yang terindah di negeri Perak itu dengan rasminya dibuka oleh Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah iaitu Sultan Perak yang menggantikan Sultan Idris yang mangkat pada tahun 1916. Belanja pembinaan masjid Ubudiah ketika itu di anggarkan berjumlah RM200,000.00


Masjid Ihsaniah Iskandariah terletak di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas kira-kira 4.8 kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar.


Masjid Ihsaniah Iskandariah ini dibina pada 1936. Pembinaannya telah dibiayai oleh Al-Marhum Paduka Seri Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak yang ke-30. Papan plak perasmian yang diperolehi di masjid ini mencatatkan majlis perasmian telah berlangsung pada hari Jumaat 10 Zulhijjah pada tahun 1356H bersamaan 11 Februari 1938. 

Keunikan masjid ini dapat dilihat pada rekabentuk binaannya yang menyerupai seperti sangkar burung. Istimewanya masjid dua tingkat ini ialah keseluruhan dindingnya dibuat daripada buluh minyak yang dianyam dipanggil “dinding tepas/tepus” kehalusan seni anyaman tangan kelarai bermotif pengaruh ‘arabes’ pada dinding masjid menimbulkan nilai estetika bangunan menjadi tarikan utama kepada siapa yang memandang. 

Terdapat 20 tingkap berdaun dua yang dihiasi ukiran “tebuk terus, tidak silat” bermotif pucuk kacang, bulan sabit dan bintang. Bumbung masjid ini juga sangat unik kerana tidak mempunyai tebar layar menyebabkan kelihatan seperti bumbung rata yang tidak terpengaruh dengan bumbung Istana Kenangan yang mempunyai ‘satah’ kecerunan yang sangat ketara.


Masjid Panglima Kinta ini dibina oleh Dato’ Panglima Kinta sempena memperingati isterinya yang telah meninggal dunia.


Masjid ini juga dikenali dengan nama 'Masjid Tengah'. Ia terletak di Jalan Masjid, Ipoh iaitu di tepi tebing Sungai Kinta dan berdekatan dengan Jambatan Sultan Iskandar. 

Melihat bangunan masjid ini, ia telah direkabentuk dengan menggabungkan senibina Mogul dan Neoclassical. Ia memiliki dua menara, anjung dan kubah batu di sebelah timur. Menurut catatan sejarah, masjid ini yang pertama sekali didirikan di Ipoh iaitu pada tahun 1898 Masihi. 


Tidak ada komentar:

Posting Komentar