Rabu, 03 Oktober 2012

Masjid di Negeri Pahang



Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah I terletak di Bandar Kuantan. Masjid ini dirasmikan oleh Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada 21 Oktober 1994 Masihi. Nama masjid ini diambil sempena nama pemerintah Pahang pertama, Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah yang ditabal sebagai raja selepas mengalahkan Bendahara Wan Mutahir lewat 1890.

Masjid Sultan Ahmad Shah I ini merupakan masjid yang terbesar di negeri Pahang dan menjadi kebanggaan kepada rakyat negeri. Menara masjidnya berukuran setinggi 180 kaki dan menjadikan ia antara masjid yang terkenal.Masjid ini mampu memuatkan sekurang-kurangnya 8,000 orang. 

Pembinaan masjid ini berdasarkan reka bentuk seni bina zaman Othmaniah, tetapi menggunakan bahan dan teknologi moden. Empat kubah separuh bulat diletakkan pada empat penjuru yang mengapit sebuah kubah utama yang mendominasi bahagian atas ruang utama solat. Warna biru dan hijau digunakan bagi mewarnai keseluruhan Masjid Negeri ini. Masjid ini juga mempunyai ruang halaman yang mewujudkan suasana keterbukaan dan mengimbangi keluasan masjid ini.




Selain nama Masjid Leban Chondong, ia turut dikenali dengan nama Masjid Al-Iman. Masjid ini terletak kira-kira 12 km dari Bandar Rompin. Masjid ini didirikan pada tahun 1984 Masihi dengan pembiayaannya ditanggung oleh Kerajaan Negeri Pahang di bawah program Amanah Saham Pahang Berhad (ASPA).

Masjid ini telah dirasmikan oleh Tengku Mahkota Pahang. Masjid-masjid baru di Pahang yang terletak di bawah program ASPA dibina berkonsepkan tempatan, iaitu diperbuat daripada kayu dan bercirikan bumbung berbentuk piramid serta tiada pembaziran ruang atau hiasan berlebihan. 

Masjid ini berkonsepkan reka bentuk Melayu tradisi. Ia mempunyai reka bentuk bumbung piramid atau dikenali bumbung tangkup tiga lapis. Masjid ini tidak mempunyai mercu tanda tetapi di puncak bumbungnya terdapat tetunjuk langit yang dihiasi dengan bintang dan bulan sabit sebagai lambang. Struktur utama binaannya daripada kayu. Terdapat juga penggunaan batu dan simen pada tangga.




Tidak ada komentar:

Posting Komentar