Senin, 14 Januari 2013

Eksplorasi #18 - Taman Botani Negara, Shah Alam

Taman Pertanian Malaysia atau Taman Botani Negara atau juga dikenali sebagai Taman Cahaya Seri Alam, Bukit Cerakah, Shah Alam adalah satu lokasi menarik untuk anda kunjungi sama ada di hujung minggu atau di hari cuti am. Apa yang menarik disini? Terletak di pinggir Bandaraya Shah Alam, ianya tidak sukar untuk anda jejaki. 
Nama pun Taman Pertanian...maka di sini anda boleh nikmati pelbagai taman atau kebun yang berkaitan pertanian. Lokasi terbaik untuk anda kenali dan lihat sendiri pelbagai jenis pokok hasil tani, herba, rempah ratus, kaktus, buah-buahan, bunga hiasan dan pokok hutan.  
Mari ikuti eksplorasi saya ke taman ini...
Mercu tanda yang anda akan lihat sebaik sahaja masuk ke Taman ini. 

Masuk ke Taman Pertanian, anda di kenakan bayaran RM3.00 untuk seorang dewasa setiap hari termasuk hari minggu atau cuti am kecuali hari Selasa ianya di tutup. Kawasannya begitu luas maka di sedia bas sebagai pengangkutan untuk anda ke lokasi-lokasi yang ingin anda tujui. Anda juga boleh sewa basikal untuk menerokai keseluruhan taman ini kalau anda bertenaga dan mampu le...
Anda boleh lihat peta yang banyak terpampang untuk anda melihat lokasi-lokasi yang ingin anda terokai.

Oleh kerana saya datang lepas tengahari, maka masa lawatan saya sedikit terhad kerana taman ini di tutup pukul 4.30 petang, maka saya terus ke lokasi Taman rempah ratus di mana di sini terdapat sebuah menara tinjau bersebelahan tasik mengadap taman hiasan. Pemandangan di sini sungguh menarik.
 
Anda boleh nikmati pepohon hutan yang besar dan merimbun sambil anda menikmati pelbagai jenis pokok herba dan rempah ratus di bawahnya. Terdapat juga rumah cendawan tapi sayang di tutup pula.

Dari sini anda akan terus menuju ke taman hiasan di seberang tasik dan terus ke lokasi yang paling menjadi tarikan utama di Taman ini, iaitu Rumah Iklim Sederhana Empat Musim. Menariknya rumah ini, ianya di hias mengikut musim sebenar iaitu sama masanya dengan negara yang mempunyai empat musim. Masa saya pergi ini pada bulan Mac, maka pada waktu itu adalah musim bunga
Untuk masuk ke Rumah Empat Musim ini anda di kenakan bayaran tambahan di pintu masuk sebanyak RM3.00 seorang. 
 
Nikmati kecantikan lanskap yang di hias umpama sebuah taman Inggeris di musim bunga. Suhu di dalamnya juga dingin seperti  anda berada di musim bunga yang sebenar. Rumah ini bagi saya sedikit kecil...jika terdapat ramai pelawat anda akan ada banyak masalah untuk bergambar. Tapi sekurang-kurangnya anda dapat menikmati suasana yang tidak akan dapat anda nikmati di negara ini.
Latar belakang juga di paparkan gambar pemandangan di Eropah. Bunga-bunga tulip berwarna warni sedang mekar yang sinonim dengan musim bunga begitu banyak di tanam. Jika anda inginkan musim sejuk dan bersalji anda harus pergi pada bulan Disember atau Januari. 

Keluar dari Rumah Empat musim anda akan melalui sebuah muzium namun ianya tutup la pulak!

Masih ada satu jam setengah sebelum tutup, maka rasanya tak perlu naik bas, saya hanya berjalan kaki untuk pulang. Menariknya sepanjang perjalanan anda dapat menikmati keindahan hutan yang menghijau sambil menghirup udara yang segar. Ramai juga pengunjung taman ini... tempat yang sesuai sekali bersama keluarga dan anak-anak untuk beriadah dan bergembira, lari dari kesibukan kota.

Lalu pula di Taman Haiwan, umpama mini zoo tapi tidak banyak haiwan yang ada...bolehlah untuk anda melihat, arnab, helang, merak, landak, rusa, kuda dan beberapa lagi spesis binatang. 

Berjalan pulang ke pintu keluar.... Tak sempat untuk melihat taman kaktus, masa tidak mengizinkan. Mungkin lain kali. 

Taman Pertanian Malaysia... Bagi saya satu lokasi terbaik untuk beridah dan bersenam (berbasikal, jogging atau jalan kaki) Tempat yang masih kekal dengan kehijauan hutan dan udara yang segar sesuai untuk menenangkan fikiran. Namun bagi pokok-pokok tanaman sebenarnya sedih melihatnya, banyak yang tidak terjaga dan mati, di Taman hiasan pula penuh rumput meliar dan lalang. Sawah padi pula jadi sawah lalang. (sebab tu saya tak letak gambar2 tersebut). Tak tahulah taman kaktus bagaimana rupanya. 
Berita baik pada belanjawan 2013, taman ini mendapat peruntukan berjuta-juta untuk di majukan. Harap keadaan akan bertambah baik dan menarik kerana ianya sebenarnya lokasi yang sangat menarik.
Untuk lebih info anda boleh ke Laman Web Rasmi Taman Botani Negara, Shah Alam.  


Teruskan eksplorasi anda ke :


Admin...

Tidak ada komentar:

Posting Komentar